UCAPAN PRESIDEN

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم

اَلسَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَا تُهُ dan selamat sejahtera kepada semua ahli PERKASA dan pegawai kanan serta warga Jabatan yang saya hormati dan kasihi sekalian.

Alhamdulillah bersyukur kita ke hadrat Allah swt kerana dengan rahmat dan izin-Nya jua website PERKASA Malaysia ini dapat direalisasikan. PERKASA Boleh!

Mengimbau kembali sejarah kerjasama yang terjalin antara NGO dan Jabatan sebenarnya PERKASA mampu mengorak langkah lebih jauh dalam usaha menambah baik perkhidmatan yang diberikan kepada rakyat selain memperjuangkan isu-isu kebajikan dan pembangunan kerjaya pegawai. Sebagai NGO nombor 1 dalam Jabatan, PERKASA boleh turut sama memberikan idea yang bernas dalam mencadangkan inovasi dan pembaharuan melalui pelbagai saluran atau forum yang diwujudkan dalam Jabatan.

Sesungguhnya sebahagian besar perkhidmatan kastam telah pun melalui proses digital yang meluas dan sempurna, setaraf dengan pentadbiran Kastam di negara-negara maju. Umpamanya kita telah mengguna pakai teknologi digital dalam sistem percukaian tidak langsung dan ia telah menghasilkan impak yang amat baik dalam aspek kecekapan penyampaian perkhidmatan dan hasil kepada Negara.

Akhir kalam, saya ingin memohon kemaafan sekiranya tindakan dan perkataan saya selama menerajui kepimpinan PERKASA Malaysia ini telah mengguris hati mana-mana pihak sama ada disengajakan atau pun tidak. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua barisan Ahli Majlis Kerja PERKASA yang telah menggalas tanggungjawab dan menjalankan amanah yang diberikan dengan cemerlang sebagaimana aspirasi ahli-ahli berdaftar PERKASA dan juga turut menunjukkan komitmen yang padu terhadap pelbagai agenda PERKASA khususnya dan Jabatan amnya.

Sekian terima kasih.

MOHD ASRI BIN SEMAN, SMP
Presiden
PERKASA Malaysia
Sesi 2024/2026