Kuala Lumpur: Siapa bakal mengisi kerusi sebagai Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) masih menjadi tanda tanya walaupun jawatan nombor satu agensi penguatkuasaan di bawah Kementerian Kewangan (MOF) sudah kosong sejak hampir tiga bulan lalu.
Lebih memburukkan keadaan, jawatan nombor dua iaitu Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) juga kosong berikutan penyandangnya sebelum ini, Datuk Abdul Wahabi Abdullah juga bersara wajib iaitu awal tahun ini.
Untuk rekod, jawatan nombor satu agensi berkenaan mula kosong pada 24 Mac lalu selepas penyandangnya, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir bersara wajib manakala Abdul Wahabi pula meninggalkan pasukan pada pertengahan Februari.
Ketiadaan nakhoda di agensi yang menyumbang hasil kedua terbesar kepada negara itu nyata menyebabkan keadaan pengurusan dalaman jabatan itu kini ‘huru hara’ rentetan ketiadaan nakhoda.
Sumber memberitahu Harian Metro bahawa terdapat tiga nama kini sedang dipertimbangkan untuk mengisi mengisi kekosongan jawatan terbabit.
Sumber itu memaklumkan, nama paling kuat disebut ke jawatan nombor satu adalah Datuk Mohd Yunus Charlie Charington yang kini menjawat sebagai Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Pengurusan).
Katanya, sebelum memasuki JKDM kira-kira dua tahun lalu, Mohd Yunus yang berlatarbelakangkan Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) itu pernah bertugas di beberapa kementerian lain seperti Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada 2019 dan juga Kementerian Pengangkutan.
“Di KPM, dia menjawat jawatan sebagai Timbalan Setiausaha Bahagian Kanan, Bahagian Kewangan. Sebelum itu, beliau adalah bertugas di Pejabat Kewangan Persekutuan Sabah sebagai Pegawai Kewangan Negeri,” katanya.
Selain Mohd Yunus katanya, Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/Cukai Dalam Negeri) Datuk Zazuli Johan juga disebut sedang dipertimbangkan untuk mengisi jawatan berkenaan.
“Mengikut hirarki di JKDM kini, Zazuli adalah pegawai paling kanan yang ada di agensi berkenaan dan beliau pernah bertugas di beberapa negeri antaranya sebagai Penolong Ketua Pengarah Kastam Wilayah Tengah sebelum dinaikkan pangkat ke jawatannya kini,” katanya.
Katanya, individu ketiga juga disebut dalam pertimbangan untuk jawatan berkenaan adalah Datuk Abdullah Jaapar yang kini Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan).
Dalam perkembangan berkaitan, sumber itu juga memaklumkan, terdapat kemungkinan bahawa jawatan nombor satu itu diisi orang luar dari JKDM yang kini memimpin agensi penguatkuasaan lain.
Ditanya mengenai keadaan di agensi itu kini, sumber itu berkata, ketiadaan dua pimpinan besar terutamanya Ketua Pengarah hampir tiga bulan lalu menjejaskan urusan pentadbiran dalaman jabatan itu.
“Operasi di semua pintu masuk berjalan lancar namun urusan di HQ (Ibu Pejabat JKDM Putrajaya) memang huru hara. Banyak keputusan terutamanya berkaitan dasar tidak dapat dilaksanakan.
“Contohnya, ada keputusan (dasar) hanya boleh diambil berdasarkan kuasa Ketua Pengarah dan ketiadaan pimpinan nombor satu itu menjejaskannya. Banyak tugas dan kerja yang tertakluk kepada kuasa Ketua Pengarah tertangguh,” katanya.
Sumber sama memaklumkan, nama mereka yang disebut mengisi jawatan itu juga sudah dipanjangkan kepada Pejabat Perdana Menteri namun pelantikan berkenaan tertakluk kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pegawai Kanan Kastam Malaysia, Mohd Asri Seman ketika dihubungi berkata, terdapat ramai calon berkaliber dalam jabatan itu yang boleh dipertimbangkan menjawat jawatan nombor satu berkenaan.
“Bagi pihak persatuan, kami harap kerajaan mempercepatkan pelantikan jawatan berkenaan kerana sudah kosong sejak tiga bulan lalu. Terdapat ramai pegawai kanan dari skim penguasa kastam dapat menerajui jabatan dengan baik jika dipilih menjawat jawatan itu,” katanya.
Katanya, walaupun operasi dan kutipan berjalan seperti biasa namun dengan ketiadaan Ketua Pengarah ia tiada hala tuju dan tadbir urus tidak dapat dijalankan dengan sempurna.
Untuk rekod, JKDM berjaya membuat kutipan cukai 2021 mencecah RM42.5 bilion melepasi sasaran awal ditetapkan MOF selain siri kejayaan penguatkuasaan termasuk memerangi sindiket dadah dengan rampasan terbesar di Malaysia membabitkan nilai RM5.2 bilion.
Link Berita: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2022/06/852151/hampir-tiga-bulan-jkdm-tiada-nakhoda